BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

20 September 2010

Aspek-aspek sosial yang dianggap sebagai iklim sekolah dalam alam belajar kanak-kanak & Aspek-aspek perbezaan individu

1.0 Aspek-aspek sosial yang dianggap sebagai iklim sekolah dalam alam belajar kanak-kanak.

1.1 Pendahuluan

Halpin dan Croft (1963) yang merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah menyatakan bahawa iklim sekolah menggambarkan personaliti seseorang individu sendiri dan bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai organisasi iklim sekolah berkenaan. Menurut Howard (1974), iklim sekolah merupakan sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang yang di dalamnya. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana kawasan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar. Pendek kata, iklim sekolah ini dapat ditakrifkan sebagai cara individu di dalam sekolah, tidak kira daripada guru besar hinggalah ke murid untuk mencapai suasana sekolah yang kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

1.2 Keluarga mesra dengan penuh kasih sayang

Aspek sosial yang dianggap sebagai iklim sekolah dalam alam belajar kanak-kanak yang pertama ialah bermula dari rumah. Kanak-kanak perlu diberi kasih sayang dari rumah lagi agar pembelajaran dalam bilik darjah tidak terganggu oleh masalah di rumah. Contohnya, keruntuhan institusi kekeluargaan ataupun penceraian ibu bapa akan mengganggu emosi kanak-kanak untuk menjalani pembelajaran dalam kelas. Apabila kanak-kanak tidak mendapat kasih sayang dari ibu bapa dengan cukup, mereka bukan sahaja tidak dapat menjalani pembelajaran dengan baik, bahkan mereka juga berkemungkinan melakukan masalah disiplin di sekolah dan menyebabkan iklim sekolah itu sendiri tergugat. Namun, apabila kasih sayang yang diberikan daripada keluarga cukup, mereka akan lebih bersemangat untuk belajar kerana tiada sebarang gangguan emosi ataupun tekanan untuk mereka. Jadi, aspek keluarga merupakan salah satu aspek sosial yang penting untuk memastikan iklim sekolah tidak dicemari oleh sebarang anasir buruk iaitu masalah disiplin dalam kalangan kanak-kanak.

1.3 Persekitaran sekolah selamat

Aspek seterusnya ialah persekitaran sekolah yang selamat. Persekitaran sekolah selamat akan menentukan sama ada pembelajaran di sekolah dapat berjalan dengan lancar mahupun tidak. Menurut Fathiah (2005), suasana sekolah yang mencerminkan ciri keislaman yang sebenar, boleh menyediakan persekitaran harmoni dan melahirkan kasih sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan aktiviti pendidikan yang membawa kepada kejayaan sahsiah dan pencapaian murid-murid. Mengikut pandangan Rosnani (1998) pula, pihak pengurusan sekolah hendaklah berusaha mewujudkan budaya sekolah yang menghidupkan nilai-nilai akidah dan berakhlak supaya murid-murid merasa selamat, sentiasa ingin berbakti dan berusaha untuk maju dalam pelajaran berdasarkan dorongan yang lebih tinggi, iaitu mencari keredhaan Allah S.W.T dan bukan sekadar menggembirakan warga sekolah, ibu bapa dan guru. Sesungguhnya, jika setiap warga sekolah iaitu daripada guru besar, guru, kakitangan sokongan, sehingga murid-murid menghayati nilai akhlak ini, pasti wujud persekitaran sekolah yang selamat.

1.4 Iklim bilik darjah sihat

Selain itu, aspek yang menyebabkan iklim sekolah harmonis ialah iklim bilik darjah yang sihat. Guru mestilah memastikan hubungan antara murid dengan murid dan hubungan guru dengan murid sentiasa dalam keadaan baik untuk melahirkan iklim sekolah yang harmonis. Menurut Mahi Din (1998) dengan timbulnya suasana harmonis dalam hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berasaskan ajaran tauhid, manusia akan dapat memahami hakikat budaya ilmu dengan baik dan dapat mengekalkan identiti dan fungsi sebenar, iaitu ilmu sebagai alat yang dapat membawa kepada kebenaran. Justeru, sekiranya guru dapat memastikan iklim bilik darjah dalam keadaan yang baik, maka murid-murid akan dapat menjalani pengajaran dan pembelajaran dengan sempurna dan dapat memastikan keharmonian iklim sekolah. Selain itu, guru mestilah memastikan kelas dalam keadaan yang baik bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan selesa dalam suasana kondusif. Guru boleh meminta murid untuk membersihkan kelas. Selain menjadikan kelas bersih, guru juga dapat membina hubungan baik sesama murid dan menerapkan sifat kerjasama dalam kalangan murid. Sekiranya guru dapat memainkan peranan ini, maka tidak timbul lagi masalah kepada murid menjalani pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan yang selesa.

1.5 Keperluan fisiologi dan psikologi dipenuhi

Seterusnya, aspek sosial yang dianggap sebagai iklim sekolah ialah keperluan fisiologi dan psikologi pelajar. Sebagai seorang guru, kita hendaklah memahami apa yang diinginkan oleh pelajar agar mereka dapat menjalani pembelajaran dengan sempurna. Sebagai contoh, guru mestilah banyak melakukan aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran kepada pelajar, ataupun dengan istilah mudah, pengajaran berpusatkan murid. Sudah menjadi lumrah kanak-kanak sangat suka untuk bermain. Jadi, guru mestilah bijak untuk mencipta permainan dalam pembelajaran agar keperluan fisiologi dan psikologi murid tersebut dapat dicapai.


1.6 Hubungan interpersonal

Aspek seterusnya ialah hubungan interpersonal. Hubungan interpersonal antara pentadbir sekolah dengan guru dan murid amat penting bagi menjamin keharmonian sekolah. Setiap organisasi ingin matlamatnya tercapai. Ini tidak akan berlaku sekiranya hubungan antara pentadbir sekolah dengan guru dan murid sering bermasalah, menyebabkan guru dan murid tidak dapat menerima kehadiran pentadbir sekolah dan sering bertingkah laku yang boleh merugikan organisasi sekolah tersebut. Guru besar mestilah mengamalkan komunikasi terbuka dengan guru dan murid. Sikap guru besar yang mudah bergaul akan memudahkan setiap warga sekolah berani untuk berbincang apa jua masalah. Kewujudan hubungan sebegini akan mengurangkan rasa tekanan dan akan membantu meningkatkan motivasi.

1.6 Penutup

Kesimpulannya, iklim sekolah akan mewujudkan suasana yang pembelajaran yang bermotivasi dan seterusnya membantu murid memperoleh pencapaian yang lebih baik dan guru-guru lebih puas untuk bekerja. Menurut Ibrahim (1993:78) menegaskan bahawa iklim yang positif sangat perlu wujud di sesebuah sekolah. Sekiranya iklim sekolah baik, maka guru dan murid lebih bermotivasi dan pada masa yang sama, aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan baik. Aspek-aspek sosial seperti yang telah dijelaskan di atas akan memastikan iklim sekolah yang baik.







2.0 Aspek-aspek perbezaan individu beserta contoh-contoh yang relevan.

2.1 Pendahuluan

Setiap manusia itu unik dengan perbezaan setiap individu. Menurut Papalia (2001), manusia berbeza dari segi jantina, ketinggian, berat dan bentuk tubuh badan; dalam hal-hal lain seperti kesihatan; dan tahap tenaga dan ciri-ciri personaliti serta reaksi emosi. Slavin (1997) pula lebih menumpukan perhatian kepada perbezaan individu dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Beliau mengatakan kepelbagaian pelajar terdapat dalam tahap prestasi, kadar belajar, gaya kognitif atau gaya pembelajaan, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa di rumah, jantina, bakat dan minat. Berdasarkan pendapat-pendapat berikut, dapat dirumuskan bahawa aspek-aspek perbezaan individu adalah seperti jantina, fizikal, emosi, personaliti, bahasa dan bangsa, kesihatan, kecerdasan, gaya kognitif dan gaya belajar.

Menurut Mok Soon Sang (2001), perbezaan individu dimaksudkan sebagai ketidaksamaan dalam aspek perkembangan secara fizikal, mental, emosi dan sosial dalam kalangan individu. Beliau juga memetik dari Dictionary of Psychology (1973), perbezaan individu dihuraikan sebagai variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulan, sama ada sifat-sifat kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkah laku, sosial, bakat dan lain-lain aspek yang mungkin terdapat dalam kalangan individu dalam sesuatu kumpulan.

2.2 Aspek jantina

Aspek perbezaan individu yang pertama ialah jantina. Masyarakat di asia menganggap kanak-kanak lelaki mestilah berani kerana mereka akan menjadi ketua keluarga pada suatu hari nanti. Mereka juga diletakkan harapan yang tinggi dalam keluarga. Di sekolah, kanak-kanak lelaki lebih nakal dan kurang berdisiplin, manakala kanak-kanak perempuan pula lebih rajin, berdisiplin dan berjaya dalam pelajaran. Tahap perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sosial kanak-kanak lelaki lebih lambat berbanding kanak-kanak perempuan sebelum akil baligh, namun selepas akil baligh, perkembangan mereka hampir sama. Menurut Maccoby dan Jacklin (1974), kecerdasan lisan murid perempuan lebih baik daripada lelaki, manakala murid lelaki lebih kepada kecerdasan ruang. Jadi, perbezaan individu ini dapat dilihat menerusi jantina mereka kerana kanak-kanak perempuan biasanya mempunyai kebolehan mendengar dan bertutur lebih baik berbanding dengan kanak-kanak lelaki.

2.3 Aspek fizikal

Aspek perbezaan individu yang seterusnya ialah fizikal. Sheldon (1942) mengkategorikan temperamen kepada tiga bahagian iaitu endomorf, mesomorf, dan ektomorf. Kanak-kanak endomorf ini lebih suka bergaul dan relaks. Mereka juga mementingkan diri sendiri tetapi mudah diserang tekanan perasaan. Manakala kanak-kanak mesomorf pula bersifat asertif, agresif, dan bertenaga. Kanak-kanak ini juga amat suka bersukan. Seterusnya, kanak-kanak ektomorf pula bersifat bimbang, suka bersendirian, pendiam dan mudah diserang penyakit skizofrenia. Contohnya, Loh Beng mempunyai ciri fizikal endomorf iaitu bertubuh bulat. Manakala, Selvanikam pula mempunyai fizikal yang kurus dan tinggi, jadi dia mempunyai ciri fizikal ektomorf. Seterusnya, Firdaus pula mempunyai tubuh badan otot yang kuat dan minat bersukan, jadi dia mempunyai ciri fizikal Mesomorf.

2.4 Aspek kognitif

Individu juga mempunyai perbezaan dari segi kebolehan kognitif, iaitu kebolehan menaakul, berfikir logik, berbahasa, mengira dan berimaginasi. Ia dapat dibuktikan dengan ujian kecerdasan bernama Stanford-Binet Intelligence Test yang telah dilakukan oleh Alfred Binet dan Theodore Simon. Kemudian Lewis Terman (1916) telah mengubah suai alat ujian Binet dan memperkenalkan ujian Intelligence Quotient (IQ). Ahli-ahli psikologi juga tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa kecerdasan adalah sama dengan kreativiti, kerana ia merupakan dua elemen yang berbeza. Sebagai contoh, Loh Beng merupakan murid yang bijak dalam matematik, namun dia seorang yang kurang berkebolehan untuk berbahasa. Firdaus pula seorang murid yang berkebolehan untuk bercakap, namun dia kurang mahir untuk mengira. Seterusnya, Selvanikam pula, seorang yang berkebolehan dalam berimaginasi. Dia berbakat dalam seni lukis dan mewarna, namun dia kurang mahir dalam pengiraan dan berbahasa.

2.5 Aspek personaliti

Selain itu, perbezaan individu yang seterusnya ialah personaliti. Personaliti melambangkan ciri-ciri keperibadian seseorang, iaitu dari segi gaya bercakap, tingkah laku, gaya berfikir, gaya bertindak dan gaya bekerja. Carl Jung (1923) telah membahagikan personaliti kepada tiga, iaitu ekstrovert, introvert dan ambivert. Contohnya, Firdaus bersifat ekstrovert, dia suka kepada pergaulan, memberi perhatian dan bercampur dengan orang lain. Dia juga tidak mudah risau, peramah, tidak mudah malu, mudah menyesuaikan diri, suka bersosial, mesra, dan gemarkan aktiviti luar. Berbanding dengan Loh Beng yang bersikap introvert, dia lebih menumpukan kepada aspek dalaman. Dia mempamerkan sikap pasif, pemalu, sensitif, gemar berseorangan, cermat, reflektif dan sentiasa berfikir sebelum melakukan kerja serta boleh dipercayai dan bersedia menanggung risiko. Loh Beng juga tidak mudah marah tetapi, jika dia marah, perasaan marah itu akan berpanjangan. Manakala, Silvanikam pula mempunyai ciri-ciri daripada kedua-dua jenis personaliti iaitu ekstrovert dan introvert, yang dikenali sebagai personaliti ambivet.

2.6 Aspek kesihatan

Kesihatan juga merupakan salah satu aspek yang terdapat dalam perbezaan individu. Sebahagian besar murid dalam kelas terdiri daripada murid yang sihat, riang, cerdas dan normal. Namun pelajar yang tidak sihat pula adalah murid yang lemah dalam pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti luar bilik darjah. Terdapat juga murid yang tidak sihat dan berpenyakit. Sebagai contoh, Firdaus dan Loh Beng merupakan pelajar yang sihat, aktif, riang dan cerdas. Mereka selalu mengambil bahagian dalam aktiviti di dalam mahupun luar kelas. Namun, Selvanikam mempunyai penyakit asma. Dia tidak dapat mengambil bahagian dalam aktiviti luar kelas dengan aktif. Jadi, perbezaan seseorang individu dapat dilihat menerusi tahap kesihatan mereka.

2.7 Penutup

Kesimpulannya, setiap individu adalah berbeza antara satu sama lain. Aspek-aspek perbezaan individu seperti jantina, fizikal, kebolehan kognitif, personaliti dan kesihatan telah membuktikan kepada kita bahawasanya setiap manusia itu unik dengan perbezaan yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T.


3.0 Rujukan

Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel (2009), ”Perkembangan Kanak-Kanak”. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Halpin, A.W. dan Croft, D.B. (1963), “The Organizational Climate of School”. Chicago: Midwest Administration Centre, University of Chicago

Ibrahim Mamat (1993), “Kepimpinan Sekolah: Teori Untuk Praktis”. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia (1981), ”Kurikulum Baru Sekolah Rendah: Matlamat, Rasional, Bidang Pelajaran dan Strategi Pengajaran dan Pembelajaran”. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), ”Murid dan Alam Belajar”. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Kulanz Salleh, 2010. ”Perbezaan Individu” http://kulanzsalleh.com/perbezaan- individu/ Accesed on 10 Ogos 2010.

Ishak Mad Shah, 2006. http://www.penerbit.utm.my/cgi- bin/katalog/buku.cgi?id=393. Accesed on 10 Ogos 2010