BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

10 Mac 2010

Peranan Sekolah Untuk Merealisasikan Hasrat FPK

1.0 KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggung jawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.”

Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dikenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan Negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan Negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidikan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.

Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.







2.0 PERANAN SEKOLAH SEBAGAI SATU INSTITUSI FORMAL YANG DAPAT MEREALISASIKAN HASRAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Unsur intelek. Unsur intelek merupakan unsur yang penting untuk melahirkan murid-murid yang mempunyai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Murid-murid juga akan sering berusaha untuk memperoleh dan mengembangkan ilmu yang benar. Seterusnya, murid juga berkemahiran untuk berfikir secara kreatif, kritikal dan reflektif dan mereka sanggup untuk berkongsi ilmu dengan orang lain dan persekitaran.

Unsur rohani. Unsur rohani ini ialah murid-murid sedar dan percaya kepada Tuhan, bersyukur kepada pemberian Tuhan, serta mereka berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni.

Unsur emosi. Unsur emosi pula ialah murid-murid dapat mengawal emosi dengan baik serta mempunyai emosi yang matang dan stabil. Mereka juga dipupuk dengan perasaan kasih sayang, contohnya sayang kepada ibu bapa. Mereka juga disemai dengan sifat kekitaan serta perpaduan dalam diri mereka.

Unsur jasmani. Unsur jasmani pula ialah murid-murid akan menyedari tentang kepentingan kesihatan fizikal mereka. Mereka juga dapat mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif dan sosial. Dan mereka dapat menggunakan kemahiran kecergasan fizikal untuk memanfaatkan masyarakat.

Sekolah merupakan institusi penting untuk merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan sahsiah terpuji. Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada. Untuk merealisasikan hasrat FPK, aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara menyeluruh.

Aspek pertama yang perlu diberi penekanan ialah budaya sekolah. Budaya sekolah kadang kala dikenali sebagai iklim sekolah merupakan salah satu aspek yang penting untuk merealisasikan FPK. Iklim sekolah yang terbuka menggalakkan murid bebas berinteraksi di antara murid dengan murid, murid dengan guru serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sekolah. Guru pula boleh bekerja dalam keadaan yang mesra, berasa tenteram serta melaksanakan tugas dengan adil, dedikasi, gembira dan sempurna. Iklim sekolah yang terbuka seperti ini merupakan iklim sekolah yang demokratik dan iklim ini akan dapat membantu sekolah mencapai hasratnya seperti membentuk murid lebih berdedikasi, lebih berinisiatif, lebih rela bekerjasama, lebih ramah dan mesra, lebih berkreativiti serta lebih tinggi motivasinya. Ini bertepatan dengan elemen FPK iaitu, membentuk rakyat Malaysia yang berketerampilan.


Budaya sekolah atau iklim sekolah ini mengandungi empat aspek utama iaitu aspek fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa. Aspek fizikal merangkumi perkara-perkara seperti kebersihan kawasan sekolah, keselamatan anggota-anggota sekolah, kemudahan-kemudahan sekolah yang lengkap, keselesaan yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan juga keindahan sekolah. Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan merangsang pembelajaran diwujudkan bertujuan menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dari aspek sosial pula, ia merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan keharmonian di antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormat-menghormati dan mengucap salam, kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan, kemesraan dan keadilan. Perkara-perkara ini menjurus kepada eleman FPK iaitu, rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.

Seterusnya, aspek perkembangan intelek. Ia merangkumi aspek budaya ilmu seperti semangat mahu belajar sama adda dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah. Sebagai contoh, sekolah memainkan peranannya melalui penganjuran program-program akademik seperti Program NILAM dengan tujuan membudayakan aktiviti membaca dalam kalangan murid-muridnya. Program ini secara tidak langsung dapat mengembangkan daya pemikiran murid sama ada kritis atau kreatif. Menurut Ee (1994), tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina budaya ilmu ialah melalui amalan membaca yang berterusan.


Aspek seterusnya ialah penggunaan bahasa. Aspek ini meliputi penggunan bahasa secara betul dan jitu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Untuk meningkatkan prestasi dalam aspek penggunaan bahasa, aktiviti pertandingan seperti pertandingan bercerita boleh dianjurkan oleh pihak sekolah sebagai galakan penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa kedua, iaitu bahasa Inggeris juga perlu diberi perhatian sejajar dengan matlamat FPK yang ingin melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing di peringkat global.

Selain itu, aspek ko-kurikulum juga memainkan peranan penting untuk merealisasikan hasrat FPK. Sekolah perlu memainkan peranan yang berkesan dalam melaksanakan gerak kerja ko-kurikulum. Gerak kerja ko-kurikulum merupakan gerak kerja bercorak pendidikan yang dijalankan di dalam dan luar waktu sekolah. Gerak kerja merupakan aktiviti-aktiviti kumpulan secara bukan formal. Gerak kerja ko-kurikulum berasaskan pembelajaran di bilik darjah adalah kesinambungan kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Walaupun aktiviti-aktiviti ko-kurikulum lebih bercorak bukan formal, tetapi gerak kerja yang dijalankan adalah terancang.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah diharapkan akan menyemai sifat-sifat kepimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat dalam kalangan murid. Aktiviti ko-kurikulum juga perlu dirancang supaya semua murid mempunyai perseimbangan antara perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani dan rohani. Melalui kegiatan kumpulan, semua murid boleh dididik dan mendidik diri mereka sendiri.


` Sekolah ialah institusi yang bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan dalam mendidik murid-murid untuk mengembangkan bakat dan minat. Aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam gerak kerja ko-kurikulum ialah pasukan unit beruniform, persatuan atau kelab dan juga sukan permainan. Pihak sekolah perlu memastikan semua murid melibatkan diri dalam ko-kurikulum ini kerana gerak kerja ini dianggap sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah dan sebagai satu bidang pendidikan.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah mempunyai beberapa matlamat penting yang merangkumi aspek pendidikan, pembelajaran dan sosialisasi. Dari aspek pendidikan, pelaksanaan gerak kerja ko-kurikulum di sekolah diharap dapat membina dan menyuburkan sahsiah yang seimbang dalam kalangan murid, memupuk nilai-nilai akhlak dan pendidikan yang diingini, memajukan kemahiran, minat dan bakat murid, meningkatkan disiplin dan kepimpinan diri, mengukuhkan dan memperkayakan lagi pengetahuan dan kemahiran, menjadi asas kerjaya pada masa akan datang dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah serta menyeronokkan.

Dalam aspek pembelajaran pula, kegiatan ko-kurikulum bertujuan untuk mewujudkan mempertingkatkan suasana sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan murid. Selain itu, perhubungan antara guru dan murid juga akan dapat dieratkan.

Dari aspek sosialisasi, gerak kerja ko-kurikulum ini dilihat mampu melahirkan dan membentuk murid-murid yang mempunyai semangat kekitaan dan kewarganegaraan serta mempunyai rasa dan tanggungjawab untuk berkhidmat untuk masyarakat, sejajar dengan elemen FPK iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Secara amnya, pihak sekolah perlu mempertingkatkan kualiti pengurusan ko-kurikulum dan sukan dengan usaha memperkembangkan lagi potensi individu, membentuk sahsiah, membantu pertumbuhan jiwa masyarakat, meningkatkan mutu disiplin para murid bagi memperkukuh integrasi dalam kalangan mereka. Selain itu, pihak sekolah harus memberi peluang secukupnya kepada murid-murid untuk menyertai program terancang bagi memperkembangkan bakat, minat, serta kemahiran masing-masing.

Aspek seterusnya ialah guru. Peranan guru amat penting untuk merealisasikan hasrat FPK. Guru bertanggungjawab memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu iaitu insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dengan pengenalan KBSR di negara kita, peranan guru di sekolah juga bertambah kompleks. Guru mula memainkan peranan sebagai pengajar, pengurus, fasilitator, pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga sebagai inovator, iaitu orang yang mendatangkan pembaharuan. Seseorang guru perlu menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi murid-murid. Sebelum memulakan satu-satu pelajaran, minat murid seharusnya dicungkil terlebih dahulu terhadap topik yang akan disampaikan. Proses pembelajaran berlaku lebih cepat sekiranya murid-murid mempunyai minat terhadap pelajaran itu. Oleh itu, adalah penting bagi seorang guru menggerakkan muridnya dengan pelbagai cara seperti menggunakan alat bantu mengajar, mengadakan main peranan (role playing), mengadakan simulasi dan sebagainya.

Selain itu, guru juga perlu mengelolakan semua aktiviti yang dijalankan di dalam sesebuah bilik darjah. Dalam aktiviti pembelajaran mesti ada langkah pertama, langkah kedua, langkah ketiga dan seterusnya. Tiap-tiap langkah pembelajaran haruslah diatur supaya murid-murid mendapat faedah daripada setiap aktiviti pembelajaran.

Guru juga membimbing murid-murid supaya mereka memahami topik yang diajar. Guru seharusnya mengaitkan tajuk yang diajar dengan pengalaman-pengalaman murid untuk membolehkan mereka memahami konsep-konsep dengan lebih mudah lagi. Perkataan-perkataan yang diguna pakai oleh guru sepatutnya mudah difahami dan penerangannya jelas dan padat. Penggunaan alat bantu mengajar seperti carta, gambar, dan lain-lain dapat menjelaskan lagi konsep yang ingin disampaikan. Guru juga mesti menolong murid-murid mengatur fakta-fakta supaya menjadi konsep yang bermakna. Idea yang abstrak boleh dijadikan konkrit dengan menggunakan alat bantu mengajar ini.

Guru juga perlu menolong murid-murid mempraktikkan dan mengulangi aktiviti sehingga pembelajaran itu menjadi berkesan. Guru juga menilai murid-muridnya dengan menjalankan pelbagai ujian. Penilaian ini akan dapat mengesan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran sudah tercapai.

Pendek kata, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan yang berilmu dan bersahsiah tinggi sejajar dengan matlamat FPK. Guru juga memainkan peranan yang amat besar dalam merealisasikan matlamat kenegaraan yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa dan negara pada masa hadapan.

Aspek terakhir untuk merealisasikan hasrat FPK ialah disiplin. Sekolah sebagai agen utama yang bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi. Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah cuba mentakrifkan disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu untuk menghormati dan mematuhi undang-undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri, juga kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain, mengamalkan tingkah laku hormat-menghormati antara satu sama lain dan mempunyai semangat tolong-menolong dan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat untuk masyarakat.

Disiplin juga ada kaitannya dengan tatatertib, tatasusila, kesopanan dan akhlak. Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi terpenting dalam membentuk disiplin murid-murid. Masalah disiplin akan menjejaskan tumpuan murid kepada pelajaran. Masalah disiplin ini seharusnya dikawal dengan kerjasama warga sekolah iaitu guru besar, guru disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat sekitar sekolah dan ibu bapa. Hal ini penting bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa menangani masalah disiplin murid peringkat sekolah dengan melantik beberapa ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan sekolah bagi memantau disiplin murid. Pihak sekolah juga hendaklah memantau kawasan sekolah yang terdapat masalah disiplin.

Peranan guru bimbingan dan kaunseling penting dalam membentuk dan membina semula sahsiah dan disiplin murid yang bermasalah. Antara tugas utama guru bimbingan dan kaunseling ialah menjalankan bimbingan dan kaunseling dengan murid-murid yang mempunyai masalah disiplin dengan tujuan mewujudkan tingkah laku yang diingini. Selain itu, guru bimbingan dan kaunseling juga berfungsi untuk membina perhubungan dengan ibu bapa murid-murid yang mempunyai masalah disiplin, pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis.

Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya persekitaran sekolah yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk imej dan keyakinan diri muridd ke arah kecemerlangan dan kegemilangan seterusnya dapat menggapai hasrat FPK.


Kesimpulannya, berdasarkan semua huraian di atas, maka ternyatalah bahawa kejayaan sesebuah sekolah dalam merealisasikan FPK adalah bergantung kepada aspek budaya sekolah, ko-kurikulum, guru dan juga disiplin. Semua aspek ini akan menentukan modal insan yang bakal dilahirkan sama ada memenuhi hasrat FPK atau tidak. Kejayaan sekolah dalam merealisasikan FPK juga secara tidak langsung mampu menjana dan membina modal insan berkualiti. Merujuk kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006, negara kita berhasrat untuk ”menghasilkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi...perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah-ubah”. Sekali lagi dinyatakan bahawa, peranan sekolah amat penting dalam menyahut cabaran yang terkandung dalam FPK untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

.

0 comments: